SELAMAT DATANG KE BLOG SMK METHODIST AYER TAWAR, PERAK DARUL RIDZUAN

Rabu, 8 April 2015

UCAPAN PENGETUA




 
            Perubahan    pesat dalam era globalisasi menjadikang pendidikan satu bidang terpenting dalam pembangunan sesebuah negara. Peruntukan terbesar dalam belanjawan negara  membuktikan kesungguhan kerajaan dalam usaha memajukan bidang  pendidikan. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) telah menggariskan hala tuju pendidikan negara untuk tempoh 13 tahun yang akan datang. Oleh yang demikian, perancangan strategik sekolah ini juga telah berlaku beberapa perubahan bagi memenuhi aspirasi pendidikan negara yang baru dengan tempoh masa dikekalkan dari tahun 2011 hingga 2015.



             Dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, telah digariskan enam ciri utama yang diperlukan oleh setiap murid supaya mereka berupaya bersaing pada peringkat global iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika kerohanian dan  identiti  nasional.  Bagi   merealisasikan   matlamat   negara  untuk menghasilkan murid yang memiliki ciri-ciri tersebut, Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist Ayer Tawar sebagai satu unit di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia   telah mengambil beberapa inisiatif   bagi memastikan transformasi  pendidikan akan dilaksanakan dengan jayanya.



            Apabila saya dilantik menjadi  pengetua  di sekolah  ini pada  tahun  2009,  Sekolah  Menengah Kebangsaan Methodist Ayer Tawar pada asalnya terdiri daripada sebuah bangunan dua tingkat yang menampung 3 bilik makmal sains, 3 bilik bengkel kemahiran hidup dan 13 bilik kelas. Sekolah ini telah dijalankan  dengan dua sesi persekolahan, pagi dan petang. Sesi pagi terdiri daripada kelas Tingkatan 3, Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 manakala sesi petang  terdiri daripada Tingkatan Peralihan, Tingkatan 1 dan Tingkatan 2. Keadaan bilik guru yang padat, pejabat, tandas dan kantin yang agak daif, telah menggerakkan saya untuk membuat penambahbaikan kepada sekolah ini.

            Dari aspek kemudahan infrastruktur sekolah,  beberapa fasa perubahan telah bermula dalam tahun 2009. Perancangan dan pengumpulan dana untuk pembinaan bangunan baru dimulakan dalam tahun tersebut. Kerjasama dan sokongan kewangan daripada Lembaga Pengelola Sekolah dan Persatuan Ibu Bapa Guru serta kerja-kerja kutipan sumbangan oleh guru-guru dan pelajar-pelajar sekolah  telah membolehkan sejumlah RM1.2 juta berjaya dikumpulkan.  Hasil daripada kutipan itu, pembinaan bangunan tambahan  tiga tingkat telah dijalankan dan siap dalam tahun 2010.  Bangunan baru ini  telah menempatkan  tandas, kantin, bilik guru, bilik pentadbir, bilik pejabat, pusat sumber sekolah, bilik gerakan dan  4 buah bilik kelas yang luas dan selesa.  Kemudahan ini mula dinikmati oleh warga sekolah dalam tahun 2011 dan dengan pertambahan ini membolehkan empat kelas Tingkatan 2 telah di bawa ke sesi pagi.  Tingkatan Peralihan dan Tingkatan 1 masih kekal di sesi petang.  

        Harapan saya, dengan kerjasama dan sokongan kewangan dari kerajaan,  Lembaga Pengelola Sekolah dan Persatuan Ibu bapa Guru untuk menjadikan  sekolah ini satu sesi akan  tercapai dalam tahun 2015.  Perubahan lain dalam kemudahan infrastruktur di sekolah ini ialah pembinaan sebuah gelanggang bola keranjang dan laluan pejalan kaki yang telah dibina menghubungkan gelanggang tersebut dengan bangunan sekolah. Pembinaan gelanggang yang menelan belanja RM 150,000 ini sangat bermanafaat kepada warga sekolah dan pihak luar untuk menjalankan pelbagai aktiviti  kokurikulum di peringkat sekolah, daerah dan juga negeri. Pertandingan kompang peringkat negeri telah dijalankan di gelanggang tersebut dalam tahun 2013.     

       Pencapaian peperiksaan PMR  dalam tahun 2008 ialah 55.23% dengan GPS 3.1. Manakala pencapaian SPM tahun 2008 ialah 75.2% dengan GPS 5.63.  Peningkatan dalam peperiksaan awam selama 3 tahun berturut-turut mulai tahun 2010 telah  melayakkan Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist Ayer Tawar menerima beberapa sijil penghargaan daripada Jabatan Pendidikan Perak. Antaranya ialah sijil penghargaan kerana peningkatan dalam 7 mata pelajaran di peringkat  Peperiksaan Menengah Rendah dan 3 mata pelajaran di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia.  Seorang pelajar dari sekolah ini ialah diantara 6 orang pelajar terbaik daerah  dengan  pencapaian 9A+, 1A  dan beliau juga telah dicalonkan untuk menerima  Anugerah Kecemerlangan DKLS padai tahun 2013. Sekolah ini juga telah menerima surat penghargaan daripada Jabatan Pendidikan Perak kerana peningkatan dalam keputusan peperiksaan 2013 yang telah menyumbang kepada kenaikan peratus pencapaian peringkat negeri iaitu PMR 72.46% dengan GPS 2.79 dan SPM 84.55% dengan GPS 4.96, seterusnya meningkatkan kedudukan sekolah kepada Band 4.    

           Pencapaian kokurikulum pelajar memainkan peranan penting dalam menentukan  kelayakan mereka untuk melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi Awam.  Walau bagaimanapun  masalah pengangkutan yang dihadapi oleh sebahagian besar pelajar-pelajar ini telah menyebabkan markah kokurikulum mereka kurang memuaskan. Pelajar-pelajar ini tinggal di kawasan ladang  dan kawasan yang tidak mempunyai pengangkutan awam.  Mereka bergantung kepada perkhidmatan bas sekolah yang beroperasi pada waktu-waktu tertentu sahaja. Oleh yang demikian, waktu aktiviti kokurikulum sekolah ini telah dimasukkan  ke dalam jadual waktu persekolahan dan ini menjadikan jadual waktu hari Rabu ditambah 2 waktu. Perubahan ini menjadikan kehadiran pelajar untuk aktiviti kokurilum bertambah baik dan pelajar dapat menjalankan aktiviti-aktiviti dengan lebih  komited.

         Pencapaian pelajar sekolah ini dalam bidang kokurikulum juga menunjukkan peningkatan dalam beberapa acara yang disertai. Kumpulan kompang sekolah telah menjadi johan peringkat daerah dan mendapat tempat keempat di peringkat negeri dalam tahun 2012. Kumpulan nasyid telah menjadi johan zon bagi tahun 2014 dan mendapat tempat keempat di peringkat daerah. Wakil pertandingan deklamasi sajak telah mendapat tempat ketiga di pertandingan peringkat daerah tahun ini.  Dalam acara permainan, pasukan bola baling sekolah  (lelaki) telah menduduki tempat ketiga peringkat daerah manakala pasukan perempuan menjadi naib johan dalam pertandingan yang sama.  Seorang daripada pemain bola baling  sekolah telah terpilih mewakili daerah ke pertandingan peringkat negeri. Sekolah ini juga telah berjaya menjadi johan dalam pertandingan karnival sains (periuk solar) peringkat negeri pada tahun 2013.  Seorang pelajar sekolah ini juga muncul sebagai juara hafazan peringkat  daerah bagi tahun 2013.


           Analisis bahagian Hal Ehwal Murid juga menunjukkan perubahan yang positif terhadap disiplin pelajar.  Maklumat menunjukkan kes ponteng sekolah tahun 2013 berkurangan dibandingkan tahun 2012 . Kes salah laku berat juga menunjukkan pengurangan.  Ini adalah hasil daripada pelbagai program pembangunan sahsiah yang dijalankan di sekolah ini. Antara program yang berjaya mengurangkan masalah disiplin pelajar-pelajar sekolah ini ialah pemantapan budaya beradap dan kasih sayang seperti penerapan budaya beradap di kalangan pelajar, kempen memberi salam dan tazkirah pagi. Program ini telah mewujudkan hubungan yang harmoni antara pelajar dan guru-guru di sekolah ini. Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist  Ayer Tawar  menjadi sekolah pilihan utama ibu bapa dan pelajar dalam  zon ini. Pencapaian yang berterusan menunjukkan ibu bapa dan komuniti sekitar mempunyai keyakinan terhadap sekolah ini dalam mendidik anak-anak mereka untuk berjaya dalam bidang akademik dan pembentukan sahsiah. 
         
           Akhir sekali saya yakin dengan perubahan dan peningkatan yang  berlaku di sekolah ini  sejajar dengan aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia dapat menghasilkan murid-murid yang mempunyai daya saing di peringkat global dengan sahsiah yang terbilang.

“MESAT SENTIASA DI PUNCAK KECEMERLANGAN”


NALLANI A/P GOVINDASAMY
Pengetua
SMK Methodist Ayer Tawar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan